Adakah ini jalan yang terbaik buat keluarga ini ? Adakah dengan cara murtad boleh menyelesaikan segala masalah ? Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Azmah, sepertimana yang dilaporkan oleh Harian Metro, dia dan suami, Rahim, 40, begitu nekad sekali untuk mengambil keputusan menukar agama kerana tidak sanggup sering menjadi bahan cacian dan penghinaan masyarakat, malah sembilan anak mereka juga turut menjadi mangsa buli rakan sekampung.
“Saya kecewa dan tak tahu apa salah keluarga kami hingga ada kaki buli anak saya tergamak memotong saluran paip yang menyalurkan air dari surau berhampiran ke rumah kami selain melemparkan batu ke cermin,” luah Asmah ibu kepada sembilan anak berusia antara lima bulan hingga 14 tahun.
Menceritakan semula tindakan itu, Azmah berkata, pendapatan suami sebagai pencari besi buruk tidak seberapa. Menurutnya, keperitan hidup mereka pernah mendapat perhatian kerajaan apabila memberikan sebuah rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Jaya Gading.
Bagaimanapun, rumah PPRT yang didiami sejak dua tahun lalu itu tiada bekalan air menyebabkan mereka terpaksa menyambung saluran paip dari surau berhampiran.
“Namun, tindakan itu tidak disenangi penduduk setempat sebelum remaja nakal memotong paip dan membuang kepala paip ke dalam tangki najis surau.
“Bukan itu saja, saya sebelum ini sudah membuat tujuh laporan polis sejak 2007 kerana anak saya sering dibuli serta diugut penduduk yang mahu mengancam keselamatan mereka, “ katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemui, semalam.
Difahamkan, keluarga berkenaan sudah pergi ke sebuah gereja, namun dihalang pengawal keselamatan yang meminta datang semalam.
Berikutan itu, keluarga berkenaan bimbang pulang ke rumah dan bermalam dalam kereta di tepi sebuah gereja di Jalan Gambut, di sini.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu diselamatkan seorang pemandu bas ekspres, Sheikh Anuar Sheikh Abdullah, 38, yang kemudian menghubungi Harian Metro.
Ketika ditemui, keluarga terbabit pada mulanya cuba mengelak ditemu bual dan mahu beredar dari sebuah restoran tetapi berjaya dipujuk beberapa wakil media sebelum menunggu ketibaan pegawai Majlis Agama Islam Pahang (Maip).
Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Maip, Nik Ibrahim Nik Abdullah, berkata beliau akan memberi bimbingan dan kaunseling kepada keluarga terbabit dalam usaha memujuk mereka supaya membatalkan niat mahu menukar agama.
Menurutnya, pihaknya begitu terkejut apabila dimaklumkan kes berkenaan dan akan cuba membantu menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit.
Oleh itu, diharap kepada pihak MAIP selamatkanlah keluarga ini daripada membuat tindakan yang merosakkan akidah itu.
Sementara itu pula, marilah kita bermuhasabah diri dan bertanya kepada diri kita, adakah kerana kemiskinan dan kekurangan hidup, dia (keluarga Asmah) harus dihina dan dicaci ? Malah disisihkan daripada masyarakat ? Kalau kita benar-benar orang yang beriman, bukan hinaan dan cacian yang diberikan kepada keluarga miskin ini malah bantuan kita hulurkan untuk meringankan beban penderitaan keluarga ini.
Ajaran Islam telah mengajar kita supaya tolong-menolong antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat. Bukannya saling mencaci dan menghina antara satu sama lain.
Ingat ! Hari ini kita megah mencaci orang lain, mungkin suatu hari nanti kita pula akan dicaci. Muhasabahlah…